perangterakhirRevolution Stage mengulangi kemenangan kreatif mereka dengan naskhah terbaru, Perang Terakhir. Formula elemen luaran yang sama seperti naskhah-naskhah mereka yang baru lepas digunakan lagi kali ini: dinding/papan untuk meninggalkan komen, prop dengan gambar-gambar berkaitan dengan naskhah yang dipentaskan dan meja menjual merchandise buku dan DVD semua ada, juga di pentas Morne Art Gallery. Sudah terasa seperti ini ialah rumah Revolution Stage; sampai makanan pun dah mula dijual kepada penonton-penonton yang hadir. Inilah antara sebab saya menyukai RS, kerana mereka peka akan kehendak penonton, dan pandai mencari jalan untuk mencari untung.

Berbalik kepada naskhahnya. Perang Terakhir mengisahkan Omar dan anak dewasanya Rahimah pada zaman perang besar yang difahamkan sedang meletus di serata dunia. Omar digambarkan sebagai seorang yang takut menghadapi realiti dunia luar, sering berjaga dengan senapangnya di pintu rumah yang telah ditahan. Anaknya Rahimah telah dididik untuk menjaga ayahnya, setelah ibunya meninggal semasa melahirkan Rahimah. Kerana ini, Rahimah juga diajar untuk sentiasa berjaga dari dunia luar dan sering duduk berzikir di tikar sembahyangnya.

Muncul pula sahabat Omar sejak kecil, Malek. Sekali seminggu sejak perang bermula, Malek datang ke rumah Omar untuk menghantar bekalan makanan dan menyampaikan berita dari dunia luar. Malek tidak setuju dengan sikap takut Omar dan dapat dirasakan yang dia sudah mula menyampah. Tiba-tiba berlaku sesuatu di luar rumah Omar yang membuatkan ketiga-tiga mereka berkurung di dalam rumah. Dari sinilah dapat dilihat mereka mula betul-betul mengenali diri masing-masing, dan bergaduh tentang ideologi sehingga menjadi pergaduhan fizikal.

Dua kali mereka digoda untuk keluar dari rumah: sekali oleh pihak yang mengaku dirinya sebagai puak mereka sendiri dan menjanjikan makanan dan bekalan yang mencukupi kepada orang yang keluar dan menyertai mereka, dan sekali oleh pihak yang melaungkan nama Allah dan mengajak sesiapa yang mendengar untuk berjuang untuk agama Islam. Pihak yang pertama rupa-rupanya menyamar (dan disangka sedemikan oleh Malek) dan kedengaran yang keluar dari rumah mereka ditembak. Pihak yang kedua disangka baik oleh Malek dan dia dapat meyakinkan Rahimah untuk mengikutnya. Omar tidak sanggup meninggalkan rumahnya dan dia ditinggalkan seorang diri.


Jarang saya melihat lakonan yang berkaliber sebegini di mana-mana media atau pentas. Ketiga-tiga pelakon dapat mewatakkan karakter-karakter yang agak kompleks dalam keadaan lighting yang malap. Tambahan pula Amerul Affendi memakai janggut palsu yang membuat penonton lagi susah untuk melihat mimik mukanya, tetapi masih dapat membawa watak yang sekaligus intense dan penakut. Sharifah Aleya juga agak impressive, kerana dapat membawa watak yang kuat walaupun dialognya tidak banyak. Kalau Aleya tidak dapat memberi vibe sedemikian, memang susah untuk penonton percaya yang Rahimah sanggup meninggalkan ayahnya untuk berjuang bersama Malek. Azman Hassan juga turut hebat dan sangat meyakinkan sebagai pejuang veteran di medan perang.

Tentang karakter-karakternya sendiri: Saya rasa kebanyakan orang akan terbahagi kepada personaliti seperti Malek, dan personaliti seperti Omar. Saya cukup yakin yang jika tiba masanya dunia kita berperang sepertimana di dalam Perang Terakhir (nauzubillah), ramai yang akan mempunyai reaction seperti Omar. Berselindung, bergantung kepada orang lain untuk berita dan bekalan, bercakap besar dan sedia dengan senjatanya tetapi sebenarnya takut untuk menghadapi realiti. Dan semestinya memang akan ada pejuang seperti Malek. Saya rasa yang wataknya ditulis dengan bernas — seseorang yang mengalami konflik dalaman setiap kali dia berjumpa dengan rakannya yang tidak sekepala. Dapat dilihat yang Malek sayang akan rakannya dan anak rakannya, dan itu sahajalah sebab Malek menolong mereka. Watak Rahimah pula penting sebagai embodiment konflik yang dilalui antara Omar dan Malek — mahu menurut kata ayahnya dan bersembunyi, tetapi mahu juga keluar untuk berjuang.

Sound design Perang Terakhir ialah yang terbaik yang pernah saya alami di pementasan Revolution Stage. Penata bunyi Omar Yunus menggunakan surround sound dengan bijak, dan kesannya agak layan. Sebagai penonton, saya memang terasa seperti saya di dalam rumah Omar (karakter), bersembunyi dari pejuang musuh. Penggunaan lighting yang malap oleh penata cahaya Mustaqim Muhamad juga membuatkan penonton dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang dikatakan oleh pelakon-pelakon, dan tidak distracted dengan pakaian atau set.


Penulis dan pengarah Khairunazwan Rodzy berkata dalam interview melalui e-mel bahawa naskhah Perang Terakhir ini “hanya ingin berkongsi tentang perang akhir zaman yang bakal berlaku menurut kepercayaan dalam agama Islam”. Walau begitu, saya dah rakan-rakan saya berdebat sejenak setelah selesai menonton pementasan ini. Kebanyakan dari kami dapat merasakan undercurrent propaganda, terutamanya apabila Omar, Rahimah dan Malek diberi pilihan antara yang menawarkan makanan dan keselamatan (walaupun secara logiknya sudah kekurangan), dan yang memanggil orang untuk berjuang untuk agama Islam. Tambah pula timing pementasan ini yang berlaku hanya sebulan selepas pilihanraya umum Malaysia, memang sukar untuk kami pisahkan pemahaman kami dari tujuan sebenar penulis naskhah ini.

Tetapi mungkin inilah antara tujuan seni — bukan untuk mengetahui makna sebenar di sebalik sebuah karya, tetapi untuk mengembara mencari makna tersebut. Kepada saya, pemahaman yang berbeza tentang sebuah karya penting kerana ia menunjukkan yang karya tersebut dapat disampaikan kepada berbagai jenis penonton dan membawa kepada — bak kata orang — healthy and passionate debates. People need to have real conversations about real topics dan saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada Khairunazwan dan Revolution Stage kerana memberi penonton peluang ini.

This review was written in early June. Revolution Stage has staged other productions since. We apologise for the delay in publication.