Pada 22 April hingga 1 Mei yang lalu telah berlangsung Festival Kakiseni bertempat di pusat membeli-belah terkemuka Kuala Lumpur, Pavilion KL. Acara yang berlangsung selama 10 hari ini dikelolakan oleh Kakiseni. Acara seni seperti persembahan (muzik, teater dan tari), forum dan diskusi, bengkel serta pameran berlangsung dengan meriah dan sambutan yang menggalakkan. Serentak dengan festival tersebut, Kakiseni turut menganjurkan Boh Cameronion Arts Award pada malam kemuncak festival di ruang legar Pavilion.

Penulis sempat datang menyaksikan beberapa persembahan yang dipersembahkan di Black Box pada hari Sabtu, 27 April 2013. Pihak penganjur telah mendirikan sebuah panggung khas di ruang legar Pavilion yang mampu memuatkan lebih kurang 50-60 penonton pada satu-satu masa. Tiada bayaran dikenakan untuk menyaksikan persembahan di dalam Black Box tetapi penonton perlu beratur untuk mendapatkan pas masuk percuma disebabkan tempat duduk yang terhad. Disebabkan sambutan yang menggalakkan, penonton telah siap sedia menunggu di luar Black Box satu jam sebelum persembahan bermula.

Durasi setiap persembahan lebih kurang selama 45 minit setiap satu. Persembahan tidak terhad kepada satu jenis sahaja tetapi meliputi pelbagai genre dan bentuk seperti monolog, eksperimental, teater-tari, teater fizikal dan banyak lagi.

Bane 3: Persembahan Solo yang bertenaga

Bane-3

 

Bermula dari saat pertama, Joe Bone tidak membiarkan setiap masa berlalu begitu sahaja tanpa mengikat emosi penonton. Penceritaannya lancar dan penuh bertenaga. Bane 3, mengisahkan tentang seorang pembunuh upahan yang mahu memulakan hidup baharu setelah membunuh ramai orang. Dia mahu berhenti menjadi pembunuh upahan. Walaubagaimanapun, agen lamanya mula mencarinya kembali akibat kes lama yang masih belum selesai.

Bane 3 adalah kesinambungan siri Bane 1 dan Bane 2. Watak ini dicipta oleh Joe Bone sendiri berdasarkan filem-filem aksi Hollywood. Persembahannya turut pernah memenangi beberapa anugerah utama di luar negara. Dibantu dengan Ben Roe, seorang pemuzik yang bermain gitar di satu sudut pentas, beliau berjaya membawa watak dan penceritaan dengan sangat lancar.

Apa yang menariknya dalam persembahan ini selain kelancaran penceritaan dan lakonan, Joe langsung tidak menggunakan sebarang props dan kesan bunyi.

Sesuai dengan momentum filem-filem aksi, Bane 3 dipersembahkan dengan laju dan energetik. Walaupun begitu, Joe juga berjaya mencipta situasi slow-pace yang mendebarkan. Di sini, petikan gitar Ben Roe memberikan elemen muzikal yang bersesuaian dengan kelancaran perjalanan cerita. Apa yang menariknya dalam persembahan ini selain kelancaran penceritaan dan lakonan, Joe langsung tidak menggunakan sebarang props dan kesan bunyi. Semuanya dibantu dengan lakonan dan vokalnya sendiri.

Serentak dengan persembahan di Festival Kakiseni, Joe Bone yang berasal daripada United Kingdom turut membuat persembahan Bane selama tiga hari di Petaling Jaya Live Arts pada 25–27 April yang lalu.

Red Dust. White Paper: Dramatari yang Melankolik.

reddust

 

Persembahan ini terbahagi kepada empat segmen utama dengan tiga tarian solo dan satu lagu berkumpulan. Setiap segmen dinamakan dengan tajuk Dust, Smoke, Cloud dan Fog. Apa yang menariknya dalam persembahan ini adalah penggunaan kain yang dijadikan kostum dan prop untuk memberikan kelainan.

Alunan muzik dan juga prop kain sifon yang memberikan kesan melankolik begitu mempersona. Setiap penari memberikan energy yang begitu baik untuk menampakkan kesan dramatik melalui penggunaan props kain yang dicorakkan pelbagai warna.

Persembahan ini juga turut dibantu dengan penataan sinografi yang minimal tetapi cukup mendalam. Ruang set hanya dibekalkan dengan sebuah kerusi yang ditumbuhi pokok. Set pertama, penari hanya muncul di dalam siluet. Imej gestur badan yang muncul dalam siluet itu benar-benar memberikan kesan walaupun penari hanya kelihatan samar-samar.

Persembahan yang begitu dramatik dan melankolik ini seolah mengambil inspirasi kitaran kehidupan kupu-kupu yang mahu keluar daripada kepompongnya.

Persembahan yang begitu dramatik dan melankolik ini seolah mengambil inspirasi kitaran kehidupan kupu-kupu yang mahu keluar daripada kepompongnya. Dapat dilihat melalui penari yang bergerak perlahan-lahan keluar dari pokok dan mula mencari jalan hidupnya sendiri dan mula bergaul. Kain-kain yang digunakan juga adalah simbolik kepada kepak yang membawa mereka kepada kehidupan yang penuh cabaran yang tidak terduga.

Segmen terakhir yang dibuat adalah kelihatan penari wanita telah berubah sepenuhnya. Dengan pertukaran kostum yang lebih moden berbanding penari lain, dapat disimpulkan bahawa pertembungan budaya, modeniti dan ideologi telah berubah. Mungkin inilah yang mahu ditonjolkan oleh pengarah, Ix Wong Thien Pau.

Durian Beckett: Karya Eksperimental Pentas Project.

Durian-Beckett

 

Loh Kok Man (pengasas Pentas Project) merupakan pengarah yang tidak asing lagi membawa subjek, tema dan idea yang begitu provokatif. Melalui Durian Beckett yang dipentaskan dalam tiga segmen, Kok Man sekali lagi mencabar penontonnya berfikir di luar kotak kebiasaan dengan persembahan-persembahan yang eksperimental.

Dengan pengaruh teater absurd yang pekat, gaya lakonan dan pengarahan memudahkan penonton memberikan tumpuan yang baik semasa menonton segmen pertama ini.

Tumpuan selama lebih kurang satu jam perlu diberikan sepenuhnya ketika menyaksikan persembahan ini. Melalui segmen pertama, dialog-dialog dalam pementasan ini hampir menyamai dengan karya Samuel Beckett Waiting For Godot. Dengan pengaruh teater absurd yang pekat, gaya lakonan dan pengarahan memudahkan penonton memberikan tumpuan yang baik semasa menonton segmen pertama ini. Walaupun sukar untuk difahami, teater ini mempunyai momen-momen menarik untuk ditonton.

Segmen kedua dipersembahkan melalui pancaran projektor. Dengan imej-imej dan muzik yang hiruk-piruk, ia memberikan gambaran kacau bilau di dalam persembahan segmen kedua ini. Segmen ini disampaikan dalam bahasa Mandarin. Meskipun begitu, terdapat bantuan sarikata yang dipancarkan di tepi pentas.

Segmen ketiga pula dipentaskan dengan semangat 1Malaysia. Loh Kok Man sengaja mengambil ini sebagai inspirasi untuk memberikan tafsirannya tersendiri mengenai konsep 1Malaysia yang dia fahami. Melalui segmen ini, ternyata, Loh Kok Man menyatakan pendapatnya bahawa 1Malaysia hanya satu retorika yang disembunyi di balik kepura-puraan.

Dream: Inovasi Cahaya dan Bayang

dream

 

Persembahan seterusnya dibawakan daripada Thailand oleh Wandering Moon Performing Group. Konsep persembahan ini sungguh menarik. Mereka memanipulasi teknik penceritaan menggunakan cahaya dan bayang dalam persembahan mereka.

Terdapat inspirasi daripada wayang kulit tetapi dengan sentuhan yang moden dan kontemporari

Terdapat inspirasi daripada wayang kulit tetapi dengan sentuhan yang moden dan kontemporari. Dengan bantuan visual, gaya lakon dan juga muzik ternyata persembahan ini memukau penonton dengan konsep persembahan yang agak surreal dan juga whimsy ini. Walaubagaimanapun, persembahan ini kurang tenaganya. Apa yang boleh dibanggakan adalah konsep persembahannya yang sangat inovatif.

94:05:

9405

 

94:05 merupakan teater yang dibawakan daripada Singapura (Teater Ekamatra). Kumpulan teater yang begitu terkenal membawa sebuah monolog sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Teater ini pernah dipentaskan di Singapura sebelum dipentaskan di Festival Kakiseni.

Setiap adegan membuka sedikit demi sedikit mengenai watak Ahmad, lakonan mantap dan bersahaja Mohd Fared Jainal.

Tulisan dan pengarahan Irfan Kasban begitu mudah sekali. Penceritaannya kemas dan satu persatu. Setiap adegan membuka sedikit demi sedikit mengenai watak Ahmad, lakonan mantap dan bersahaja Mohd Fared Jainal.

Walaupun tiada eksperimentasi dan juga inovasi dalam persembahan ini, tumpuan seharusnya diberikan kepada pengolahan naratif dan penceritaan yang dibuat oleh penulis muda, Irfan Kasban. Irfan mengajak penonton turut sama dalam persembahannya. Penglibatan penonton menambahkan lagi ikatan antara perasaan yang cuba disampaikan melalui watak Ahmad.

Pengakhiran pementasan ini juga dibuat dengan begitu kemas sekali. Emosi penonton dibiarkan lemas dan berada di dalam teka-teki sekaligus menutup cerita Ahmad yang benar-benar menyerah hidupnya kepada Tuhannya.

Siena: Gerakan Dramatik yang Energetik.

Siena

Siena oleh La Veronal dibawakan khas daripada Sepanyol. Ia dipersembahkan oleh tiga wanita dengan penuh tenaga. Sukar untuk mengkelaskan persembahan ini. Ia bukanlah sebuah tarian tetapi lebih kepada pergerakan dramatik dengan elemen teaterikal yang pekat.

Ketahanan fizikal dan juga kebolehan melakukan aksi-aksi yang sharp and edgy begitu menguji ketiga-tiga pemain ini.

Ketahanan fizikal dan juga kebolehan melakukan aksi-aksi yang sharp and edgy begitu menguji ketiga-tiga pemain ini. Ada gerakan-gerakan secara solo dilakukan, ada secara berpasangan dan juga secara serentak bertiga.

Walaubagaimanapun, gerakan berpasangan betul-betul mencuri tumpuan penonton dalam persembahan mereka. Tubuh mereka berkomunikasi dengan baik melalui gerakan-gerakan dramatik tersebut. Gerakan-gerakan yang dibuat juga seperti air yang mengalir dalam arah yang pelbagai. Diakui bahawa persembahan ini nampak ganas dan menyakitkan tetapi dengan latihan yang cukup, ketahanan fizikal yang baik dibuat dengan jayanya.


Moo (kiri) dan Cutler

Moo (kiri) dan Cutler

Moo Siew Keh dan Ben Cutler adalah orang yang bertanggungjawab membawa masuk semua persembahan ini ke acara Festival Kakiseni. Bertindak sebagai kurator, kredit seharusnya diberikan kepada mereka yang memilih persembahan-persembahan yang dibuat di Black Box. Selain itu penghargaan juga perlu diberikan kepada pihak penganjur Kakiseni yang kali pertama membuat acara seperti ini. Boleh dikatakan semua persembahan yang dipersembahkan di Black Box memberikan kelainan yang pelbagai. Ada yang membawa idea segar, inovatif, kreatif, energetik, tradisional, sharp, edgy, provokatif, eksperimental dan bermacam lagi. Hal ini menunjukkan bahawa persembahan seni pentas tempatan menunjukkan kemajuan dan variasi dalam jenis persembahan.

Festival Kakiseni ini juga merupakan sebagai satu katalog kepada industri seni pentas tempatan. Pemilihan lokasi yang baik turut membenarkan orang awam yang datang membeli-belah di Pavilion KL turut terdedah dengan perkembangan seni tanah air. Mereka dapat melihat dengan lebih dekat lagi pelbagai jenis seni yang boleh diterokai. Diharapkan dengan pendedahan seperti ini, mereka akan terus memberikan sokongan terhadap industri seni dan menanam minat yang tinggi untuk terus mengikuti perkembangannya.

Selain memberi ruang kepada orang awam untuk mendapat pendedahan seni pentas, penggiat seni tempatan juga turut dapat menjana inspirasi dan idea segar melalui beberapa persembahan yang telah dipersembahkan. Sokongan daripada pelbagai pihak korporat perlu dipertingkatkan lagi bagi menjamin kelangsungan festival ini. Ia perlu diadakan setiap tahun untuk memberikan nilai tambahan kepada seni pentas tanah air.

Malangnya, persembahan ini seperti kurang mendapat sambutan dari media arus perdana dan sokongan korporat. Usaha memartabatkan seni perlu bergerak dari segenap lapisan masyarakat. Hubungan dan kerjasama daripada pelbagai pihak sangat diperlukan untuk memastikan Kuala Lumpur adalah hub seni yang berpotensi untuk dimajukan.

Disclaimer: Kakiseni Festival was organised by our parent company Kakiseni. The editor of this website was part of the team, as Kakiseni’s social media manager.