Kemunculan kumpulan teater kecil yang mementaskan teater skala kecil semakin rancak dipersembahkan. Terbaharu, teater Antologi Neo-romantik yang dipentaskan di Stor Teater DBP terbitan Artful Creator dan Paradoks Production. Neoromantik ditulis dan diarahkan oleh Aloy Paradoks. Teater ini memenangi Skrip Terbaik dalam Sayembara Menulis Skrip Teater Pendek anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2012 yang lalu. Melalui pertandingan itu juga, Aloy Paradoks turut dianugerahkan sebagai pelakon lelaki terbaik dalam sayembara tersebut.

DSC_0051

(© Omar Bahrin Afandi)

Kini, Aloy Paradoks kembali mementaskan Neoromantik dalam durasi yang lebih panjang. Pementasan berlangsung selama empat hari bermula daripada 14 hingga 17 Februari 2013 dan memakan masa lebih kurang 1 jam 15 minit.

Neoromantik membawa persoalan cinta sepasangan kekasih yang hidup di zaman pasca moden. Tidak terperangkap dengan makna cinta tradisional seperti yang pernah dibawakan dalam Romeo and Juliet dan Uda dan Dara, Neoromantik cuba memberi makna baharu dalam perhubungan melalui dua watak utamanya Asyraf, lakonan Aloy Paradoks dan Najua, lakonan Fazleena Hishamuddin.

Aloy Paradoks bijak mengadakan debat-debat dalam perhubungan antara watak tersebut. Beliau tidak memihak kepada lelaki dan juga tidak memihak kepada perempuan sahaja. Jika diamati, persoalan cinta, hubungan dan komitmen antara dua gender ini telah pun diterokai dahulu melalui teater Yunani, Lysistrata karya Aristophanes (ditulis sekitar 411 sebelum masihi). Bezanya, Lysistrata berkisar isu gender dan kuasa. Pengulangan subjek dan tema ini ternyata tidak menemui jalan penyelesaian dalam kehidupan manusia. Lantas Aloy mengambil pendekatan baharu dengan halwa sosio-budaya pasca-moden untuk diterokai dan diperdebat dalam teaternya.

Walaubagaimanapun, Neoromantik bukanlah melihat persoalan gender dalam sosial secara am tetapi melihat peranan gender dalam memberi makna cinta antara dua pasangan selebiriti tersebut, Asyraf dan Najua. Aloy mengutarakan hal ini melalui segmen lakon (segmen pertama dan ketiga) dan bukan dalam segmen kedua.

DSC_0116

(© Omar Bahrin Afandi)

Di sini, Aloy dilihat gagal sebagai pengarah. Segmen kedua dalam Neoromantik dibuat sebagai rancangan bual bicara yang dikendalikan oleh dua watak yang sama dengan segmen pertama. Segmen kedua dibuat melibatkan penyertaan daripada penonton yang bertanyakan soalan melalui Twitter dan juga soalan secara langsung. Hal ini membuatkan pelakon perlu menjawab soalan-soalan tersebut berdasarkan watak dan cerita mereka secara improvisasi.

Kegagalan segmen kedua adalah kerana segmen ini gagal membawa persoalan, tema dan idea keseluruhan teks. Mungkin hal ini terjadi akibat soalan-soalan yang ditanyakan secara langsung tidak membantu mengembangkan jalan cerita selari dengan kehendak skrip ataupun pengarah.

Pendekatan yang digunakan oleh Aloy Paradoks mempunyai similariti dengan forum theatre seperti yang pernah dilakukan oleh pengarah teater Brazil, Augusto Boal. Boal menyatakan melalui forum theatre, penonton tidak hanya pasif di tempat duduk sebagai penonton sahaja tetapi turut bertindak sebagai pelakon[1]. Mereka diberikan situasi yang sama seperti penonton tetapi memberikan tindak balas lakon yang berbeza mengikut fahaman mereka sendiri. Boal melakukan ini untuk menggalakkan penonton bukan sahaja berfikir tetapi turut bertindak dengan aksi sekaligus mewujudkan terma spec-actor.

Walaubagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Aloy dalam Neoromantik boleh dikatakan kurang berkesan. Berkemungkinan beliau berjaya mengajak penonton untuk respon sama tetapi spec-actor ini bertindak mengikut pemikiran yang mereka bawa sendiri. Lantas, aplikasi forum theatre yang cuba diaplikasikan tampak tidak menjadi. Tiada kesatuan idea antara pengarah dan juga penonton. Kesatuan ini sukar dicapai dalam teknik improvisasi seperti ini tetapi boleh dikawal menuju kepada isu dan tema sekiranya, kedua-dua pelakon berjaya menarik penonton kepada idea utama naskhah. Hal ini yang dilihat gagal dilaksanakan oleh pengarah. Lantas, ia hanya menjadi rancangan bual bicara tanpa ada sumbangan terhadap perkembangan teks dan tema utama naskhah.

Isu-isu dan persoalan-persoalan utama dalam teks tidak disambung di dalam segmen kedua. Walaupun segmen ini adalah segmen improvisasi, Aloy sebagai pengarah perlu mempunyai haluan yang ditetapkan untuk mencapai kesatuan dalam kerja pengarahannya. Beliau seharusnya perlu menjangka sekiranya ada soalan-soalan yang akan diajukan oleh penonton dan bersedia sekiranya ada soalan atau pun tiada langsung soalan. Kematangan dalam menangani adegan improvisasi ini tampak longgar seolah-olah tiada persediaan. Sememangnya diketahui bahawa adegan ini adalah improvisasi, tetapi persediaan dan jangkaan awal boleh dibuat semasa rehearsal.

Oleh yang demikian, adegan ini mengalami alinasi (alienation). Ia terpisah dan disebabkan tona persembahan yang sangat berbeza; baik dari segi persembahan mahu pun isu dan tema. Mungkin ini adalah tujuan pengarah tetapi keharmonian dalam kerja pengarahannya nampak tidak konsisten, tidak kemas dan kasar.

Teater ini dipentaskan dengan aspek sinografi yang minimal. Hanya satu bongkah kayu yang multi-fungsi menjadi bangku, platform dan sebagainya. Set yang digunakan tidak menjelaskan latar tempat sesuatu adegan. Dengan bantuan penataan cahaya, ia membantu mencipta suasana dan persekitaran tempat yang terdapat di dalam naskhah.

DSC_0084

(© Omar Bahrin Afandi)

Dengan penataan artistik yang minimal membuatkan penonton menumpukan perhatian 100% terhadap lakonan dan juga dialog-dialog yang diucapkan. Aloy berjaya menarik penonton untuk sama-sama berimaginasi dengan teksnya walaupun tidak menekankan aspek visual dan sinografi pentas. Penonton turut sama terhibur dengan telatah dua watak yang berdebat, bergaduh, bergurau dan bermesra di atas pentas. Aloy yang selesa dengan konsep pengarahan teater miskin (poor theatre) nampak semakin matang dalam memberikan ‘kekosongan’ visual di atas pentas.

Neoromantik mungkin lebih berkesan dalam bentuk teater pendek seperti yang pernah dipentaskan semasa Sayembara Skrip Teater Pendek anjuran DBP dahulu. Pementasan teater panjang sememangnya memerlukan konflik yang lebih rumit untuk diterokai. Ia perlu ditangani dengan serius dan menyeluruh dan bukan sekadar penghasilan segera dan ringkas. Kunjungan penulis pada malam ketiga tidak dapat meneroka naskhah ini dengan begitu dalam tetapi masih terhibur dengan persembahan yang dibuat.

Teater ini masih berjaya menghiburkan ramai penonton. Rata-rata penonton berpuas hati dengan persembahan tersebut. Walaubagaimanapun, penulis berasa terdapat banyak penambahbaikan yang boleh dibuat dari aspek pengarahan untuk menampakkan kerja kraf yang lebih harmoni walaupun dalam kejelikan.

DSC_0163

(© Omar Bahrin Afandi)


Fasyali FadzlyFasyali Fadzly is a local theatre graduate, theatre practitioner and theatre-goer. He also blogs at fasyalifadzly.com

 

[1] Boal, Augusto. Theatre of the Oppressed. New York: Theatre Communications Group, 1985. Print.